Suara Marhaen – Mencari Telur

Saya sangka saya seorang sahaja, rupa-rupanya ramai juga dalam kalangan sahabat handai yang tertanya-tanya soalan yang sama; kenapa dua tiga minggu kebelakangan ini begitu banyak telur ayam organik muncul di pasaran, manakala telur ayam biasa masih agak sukar diperoleh. 

Tinjauan di ruang maya juga menunjukkan soalan itu turut di bangkitkan oleh  warganet. 

Pada masa dahulu, sebelum negara mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam, telur-telur ayam organik hanya terdapat dalam kuantiti yang kecil dan bukan di semua tempat. Sama seperti telur Omega-3, tumpuan pasarannya lebih ke kawasan bandar atau pinggir bandar. Ini kerana harga kedua-dua jenis telur ini – dan tentu juga telur ayam kampung – agak mahal berbanding  telur ayam biasa. “Usahkan hendak makan, hendak pecahkan pun terasa sayang,” kata seorang kawan. 

Jadi, yang banyak di pasaran pada masa itu adalah telur ayam biasa. Itu pun kebanyakannya telur gred B, C dan D, yang beratnya antara 50-65 gram. Memang munasabah sebab saya difahamkan sekitar 70 peratus pengeluaran telur ayam negara adalah daripada kategori tersebut. Peratus pengeluaran bagi gred AA (70 gram ke atas) dan A (65-70 gram) agak terbatas, sama seperti gred E (45-50 gram) dan gred F (di bawah 45 gram). 

Sekarang ini keadaan menjadi terbalik. Telur ayam organik mudah didapati. Yang susahnya hendak mencari telur ayam biasa. Ia boleh diibaratkan begini, jika ada seseorang memberitahu saya, syarat untuk menjadi menantunya hendaklah membawa 1,000 biji telur ayam, belum tentu saya menyanggupinya. Tetapi jika telur organik, 2,000 biji pun mungkin tidak menjadi masalah. 

Memang membingungkan. Bagaimanakah telur ayam organik tiba-tiba boleh menjadi begitu banyak? Di manakah ayam-ayam penelur organik itu menyembunyikan diri selama ini? Atau apakah ayam-ayam penelur biasa semuanya pakat mati bunuh diri? 

Telur organik ada ‘kelas’nya  tersendiri. Ia mesti datang dari ayam yang diberi makan hanya makanan organik, iaitu makanan yang bebas daripada produk sampingan haiwan, baja sintetik, racun perosak atau bahan tambahan kimia lain. Di samping itu, ayam penelur organik  diberikan antibiotik hanya jika terdapat jangkitan bukan boleh main suap dan suntik sesuka hati. 

Dengan kaedah penghasilannya yang lebih sukar berbanding  telur ayam biasa, saya tidak fikir pengusaha-pengusaha ayam telur secara tiba-tiba beralih kepada mengusahakan ayam telur organik. Tetapi saya berasa sukar untuk tidak percaya jika ada yang memberitahu bahawa terdapat  dalam kalangan pengusaha, pengedar atau peruncit  menggunakan kuasa magik  mereka untuk menukar telur ayam biasa menjadi telur ayam organik, Logiknya memang ada. Dan logik itu makin ketara apabila saya membelek-belek telur ayam yang dikategorikan sebagai ‘organik’ di sebuah pasar mini dan mendapati saiznya hanya sebesar telur ayam gred F walaupun ia dijual dengan harga lebih mahal daripada telur ayam gred AA. Saya tidak membelinya, jadi saya tidak pasti apakah warna kuning telurnya ‘keorengan’ berseri sebagaimana sepatutnya warna telur ayam organik, atau kuning pucat macam orang baru lepas disampuk penunggu. 

‘Penemuan’ di pasar raya mini itu juga mengingatkan saya kisah kemunculan tiba-tiba telur Omega 3 yang melambak di pasaran pada sekitar Julai tahun lepas, sejurus selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup – memutuskan harga kawalan siling ayam dan telur ayam dimansuhkan mulai 1 Julai 2022. 

Kemunculan yang begitu banyak menyebabkan pengguna ragu-ragu mengenai ketulenan telur Omega-3 itu. Keraguan yang sama juga timbul setiap kali saya melihat telur-telur ayam organik di kedai sekarang ini. 

Jadi kepada semua pengguna, pesan saya berhati-hatilah. Pada masa yang sama cuba-cubalah fikir apa yang kita boleh lakukan untuk mengatasi masalah kekurangan telur ayam sekarang ini. Kira-kira setahun lalu kerajaan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia makan 30 juta telur ayam sehari atau lebih 930 juta sebulan. Saya percaya peningkatan kos sara hidup akan melonjakkan lagi harga itu kerana bila ayam mahal, ikan mahal, itu mahal, ini mahal, akhirnya  telurlah dijadikan tempat ‘mengadu’. 

Masalah ini mungkin boleh didepani kalau kita kembali pada cara hidup orang dulu-dulu, di mana boleh dikatakan setiap rumah membela ayam.  Yang tinggal di apartmen dan kondominium boleh membelanya secara berkongsi di kawasan bangunan premis berkenaan.  

 Tetapi bolehkah kita? Saya tak fikir begitu. Lainlah kalau disuruh berbaik-baik dengan ibu ayam atau membela anak ikan, mungkin ramai yang akan tampil ke depan!…#dush!